Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PEMAIN Terengganu Football Club I (TFC I) perlu melupakan kekecewaan dibelasah Pahang 0-3 pada hujung minggu lalu sebaliknya kembali fokus untuk aksi ketiga Liga Super dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada esok.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak buahnya perlu bangkit untuk mencari kemenangan sulung kelab tersebut pada musim ini pada aksi di laman sendiri tersebut.
"Seri dengan PKNS FC dan kalah kepada Pahang sebelum ini umpama amaran kepada anak buah saya agar bangkit daripada permulaan yang agak mengecewakan bagi pembukaan liga musim ini.
"Saya akui JDT sebagai kelab gergasi di negara ini merupakan lawan yang sukar tetapi bukan mustahil untuk ditumbangkan kerana kita pernah melakukannya sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi bersama penaja, Kopi Super Best di padang latihan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Irfan Bakti menegaskan sikap terlalu menghormati pasukan lawan telah membawa bencana kepada TFC I pada aksi menentang Pahang tempoh hari dan beliau tidak mahu ia berulang lagi pada pertemuan dengan JDT kelak.
Jurulatih berpengalaman itu juga menuntut pemain-pemain importnya terutama ayam tambatan mereka, Kipre Tchetche agar kembali bermain kepada prestasi sebenar masing-masing.
"Setakat ini terutama pada aksi menentang Pahang, hanya Lee Andrew Tuck dan Sanjar Shaakhmedov beraksi baik manakala tiga lagi berada di bawah kemampuan sebenar.
"Tchetche seakan hilang sentuhan pemusnahnya manakala Igor Zonjic pula kerap melakukan kesilapan individu yang sedikit sebanyak telah mengoyahkan benteng pertahanan pasukan," katanya.
No comments:
Post a Comment