Translate

Wednesday, February 27, 2019

Pesta Buku Terengganu di Perpustakaan Awam Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perpustakaan Awam Terengganu menganjurkan Pesta Buku Terengganu selama lapan hari sehingga 2 Mac ini.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim berkata, program kali kedua dianjurkan itu diadakan di ruang legar perpustakaan tersebut di sini dari pukul 9 pagi hingga 10.30 malam.

Beliau berkata, Pesta Buku Terengganu tersebut bertujuan untuk memberi peluang masyarakat setempat memilih bahan bacaan berkualiti dan mempromosikan budaya membaca serta menggalakkan penerbitan buku di negara ini.

"Sebanyak kira-kira 10,000 buku pelbagai genre daripada 75 penerbit boleh didapati sepanjang penganjuran pesta buku ini," katanya selepas menyaksikan majlis perasmian Pesta Buku Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar di sini hari ini.

Ridzuan berkata, penganjuran Pesta Buku Terengganu itu juga merupakan pendekatan serampang dua mata bagi mendekatkan lagi masyarakat setempat dengan kemudahan yang ditawarkan Perpustakaan Awam Terengganu.


Ujarnya, sepanjang penganjuran pesta buku terbabit, waktu perkhidmatan perpustakaan termasuk peminjaman dan pemulangan buku serta aktiviti multimedia akan dilanjutkan sehingga pukul 10.30 malam. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment