Translate

Thursday, February 14, 2019

Rempuh batang pokok tunjuk langit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hasrat enam sekeluarga untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin tidak kesam­paian apabila lima daripadanya maut selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki me­rempuh sebatang pokok tunjuk langit awal pagi semalam.

Kejadian pada pukul 2.50 pagi di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini itu mengakibatkan pasangan suami isteri, Mohd. Kharulinzam Jusoh, 38, dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, serta bayi mereka, Nur Khaira Aisyah, 9 bulan, me­ninggal dunia di lokasi kejadian.

Turut maut di lokasi keja­dian ialah adik Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5.

Ibu wanita itu, Rozilawati Mustafa@Razali, 43, pula di­sahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Anak sulung pasangan itu, Muhammad Khai­rul Haziq, 5, pula cedera parah dan masih dirawat di hospital sama.
Kharulinzam merupakan kelindan lori manakala Nur Syaazlien suri rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu selepas menghadi­ri satu majlis ken­duri perkahwinan di Kota Bahru, Kelantan. Jarak antara dua lokasi itu kira-kira 167 kilo­meter.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohd. Kharulinzam dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

“Impak rempuhan itu menyebabkan kesemua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk teruk itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, sepasukan 12 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 3.01 pagi.

Menurut Yusmizan, pihak­nya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa daripada kereta yang remuk itu.
Sementara itu, seorang saksi, Muhammad Zul Ilha Jusoh, 25, berkata, dia segera keluar dari rumah selepas terdengar dentuman kuat akibat pelanggaran tersebut.

“Saya ingat baru berlanggar rupa-rupanya sudah hancur. Ada enam orang dalam kereta, bayi duduk atas riba penumpang hadapan dan masa itu saya dengar tangisan seorang budak di tempat duduk belakang. Kita (penduduk) angkat budak yang menangis itu keluar melalui tingkap,” katanya.

Dalam pada itu, kakak Mohd. Kharulinzam, Maizatul Akmal, 44, berkata, kereta Proton Wira itu baru dibeli adiknya kira-kira tiga bulan lalu.

“Setahu saya, ini pertama kali dia (Mohd. Kharulinzam) memandu jauh dengan kereta itu. Kami sekeluarga masih terkejut dengan keja­dian itu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir kami bertemu di kenduri arwah bapa saudara pada 2 Februari lalu,” katanya.

Jenazah kesemua ma­ngsa selamat dikebumikan di Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas, Manir, selepas solat Asar.

No comments:

Post a Comment