Translate

Wednesday, February 13, 2019

Khairul Haziq masih trauma

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU  – Kanak-kanak malang, Muhammad Khairul Ha­ziq, 5, yang menjadi yatim piatu sekelip mata masih trauma dengan kemalangan ngeri yang telah me­ngorbankan lima ahli ke­luarganya termasuk ibu bapa dan adiknya dalam kejadian di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus pada Sabtu lalu.

Ibu saudaranya, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata, Khairul Haziq yang masih dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bukan sahaja berubah menjadi pendiam, malah sering mengigau menyebut nama bapanya, Mohd. Kharulinzam Jusoh, 38,  sewaktu tidur pada waktu malam.

“Pada waktu siang pula, matanya meliar mencari kelibat papa, mama (Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21) dan adik perempuannya, (Nur Khaira Aisyah, sembilan bulan) sambil sesekali dia memanggil papanya.

“Dia memang rapat de­ngan papanya. Kami sekeluarga masih belum berani untuk memberitahu perkara sebenar ke­rana keadaannya masih belum stabil,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Tuan Sulong di sini semalam.

Terdahulu, Nurul Fatihah ditemui ketika menemani ibu­nya, Wook Awang, 68, menerima faedah pengurusan jenazah daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Nora Yaacob.

Menurut Nurul Fatihah lagi, Khairul Haziq yang juga murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Durian Mas dekat sini telah selamat menjalani pembedahan rahang kanan dan paha kirinya yang patah di HSNZ semalam.

Dia memberitahu, setakat ini, keluarganya telah bersepakat dengan keluarga Allahyarham Nur Syaazlien Syarizam untuk menjaga Khairul Haziq secara bergilir-gilir demi kebajikan kanak-kanak itu.

Sementara itu, Nora berkata, selain faedah pengurusan jena­zah berjumlah RM2,000, kanak-kanak itu turut layak menerima faedah pencen penakat Allahyarham ayahnya yang bekerja sebagai kelindan lori sehingga berusia 21 tahun.

“Sekiranya kanak-kanak itu melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat ijazah pertama, dia terus layak untuk menerima faedah pencen penakat itu sehingga tamat pengajian. Amaun bulanannya sedang ditentukan setelah kita menerima dokumen berkaitan daripada pihak keluarga pada hari ini (semalam),” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak itu juga akan dijadikan anak ang­kat Perkeso Terengganu dengan kunjungan wakil agensi itu akan dilakukan secara berkala.

No comments:

Post a Comment