Translate

Wednesday, February 27, 2019

Bekas PPN Terengganu didakwa salah guna kuasa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu berhadapan dengan dua lagi pertuduhan menyalahguna kuasa melibatkan amaun keseluruhan RM303,546 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 54, yang ditukarkan ke PPN Kelantan pada tahun lalu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Che Sa'adon yang ketika itu merupakan Pengurus Besar PPN Terengganu didakwa menggunakan jawatannya untuk menerima suapan bagi memilih syarikat Arcana Jaya Enterprise (Arcana Jaya) untuk membuat pembekalan penjantan dan induk berbiri bagi projek berbiri Fasa 2 bernilai RM107, 050 di Kampung Pelam, Hulu Terengganu.

Tertuduh yang juga Ahli Pengarah Gapets Sdn. Bhd. (Gapets) mempunyai kepentingan dalam Arcana Jaya tersebut kerana syarikat itu dimiliki anaknya, Muhammad Faris dan perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Gapets di sini pada 1 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, Che Sa'adon didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengurus Besar PPN Terengganu dan Ahli Lembaga Gapets untuk memilih syarikat Arcana Jaya milik anaknya, Muhammad Faris bagi projek sama dengan nilaian berjumlah RM196,496 juga di pejabat Gapet di sini pada 4 Disember 2016.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan terbabit. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment