KUALA TERENGGANU – Seorang penumpang pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang selamat selepas kenderaan itu terjunam ke dalam Sungai Terengganu pada Jumaat lalu memohon maaf kepada ahli keluarga Abdul Bari Asyraf Mohd. atas kejadian yang menimpa arwah.
Nordiana Alwani Jaafar, 33, berkata, dia dan ahli keluarganya terhutang nyawa dengan Abdul Bari, 31, yang terjun ke dalam sungai tersebut untuk menyelamatkan dia sekeluarga yang terperangkap di dalam pikap.
Katanya, sebaik mengetahui mayat Abdul Bari ditemui, dia yang masih lemah selepas dibenarkan keluar wad menggagahkan diri untuk menemui keluarga jurukimpal itu di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 10 pagi semalam.
“Saya pergi ke sana (Unit Forensik) untuk memohon maaf kepada keluarga Abdul Bari kerana terkilan dengan kejadian menimpa mangsa.
“Jika dia (Abdul Bari) masih ada, saya memang berniat untuk berjumpa dengannya dan mengucapkan terima kasih. Saya perasan dia merupakan individu pertama yang terjun ke dalam sungai untuk membantu kami.
“Saya sekeluarga amat terhutang nyawa dengan arwah. Dia ibarat memberi nyawanya kepada kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ semalam.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan Unit Forensik HSNZ apabila Nordiana Alwani yang merupakan pekerja bank dan ibu Abdul Bari, Masitah Awang, 60, berpelukan dan masing-masing mengalirkan air mata.
Mengimbas kembali kejadian pada pukul 9.40 malam, Jumaat lalu itu, Nordiana Alwani memberitahu, dia yang memangku anak perempuannya berusia tiga tahun berserah pada takdir selepas pikap dipandu ibu tirinya, Suryati Rusly, 37, dalam posisi mengundur meluncur laju masuk ke dalam sungai.
“Air mula masuk melalui tingkap dan kesemua pintu terkunci secara automatik. Abdul Bari berenang ke kenderaan dan minta kami keluar melalui tingkap yang terbuka sebelum memegang anak saya (Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin).
“Saya memaut pada badannya untuk berenang ke tebing sungai. Ibu tiri (Suryati), adik (11 tahun) dan ibu saudara (23 tahun) pula dibantu beberapa penyelamat lain,” katanya.
Tambahnya, sebaik tiba di tebing sungai, Abdul Bari yang kelihatan keletihan memberitahu dia mahu berenang semula ke lokasi untuk membantu seorang penyelamat yang kejang.
“Saya tak pasti apa berlaku selepas itu sehinggalah semua penyelamat kembali ke tebing kecuali Abdul Bari,” katanya.
No comments:
Post a Comment