Translate

Wednesday, February 20, 2019

THT selesa atasi Maybank

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas menumbangkan pencabar terdekat Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

THT yang juga juara bertahan bermula garang meledak gol pertama menerusi jaringan padang bekas pemain kebangsaan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah pada minit ke-9.

Tuan rumah terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 menerusi pukulan sudut penalti pakar flik Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada minit ke-13.

Maybank tidak berputus asa apabila kembali bangkit mendekatkan ke­dudukan 1-2 menerusi pukulan penalti stroke Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-18.
Kedudukan terikat 2-2 selepas pemain Maybank, Meor Muhammad Azuan Hassan meledak gol menerusi jaringan pada minit ke-21.

Jung Man-jae kembali meletakkan THT di hadapan dengan menjadikan kedudukan 3-2 menerusi gol padang pada minit ke-44.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari kemudiannya meledak dua gol berturut-turut selepas menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-56 dan jaringan padang pada tiga minit kemudian.

No comments:

Post a Comment