Translate

Wednesday, February 27, 2019

Wanita Thailand maut, lima lagi cedera di LPT2

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang wanita warga Thailand maut manakala lima lain cedera selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Estima yang dipandu suaminya terbabas lalu merempuh besi pembahagi jalan di Kilometer 400.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.56 tengah hari itu, Miss Jaruayporn, 33, yang juga seorang pengusaha restoran maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Tiga lagi yang cedera parah ialah suaminya, Seman Che Lah, 41, dan dua pekerja pasangan suami isteri itu iaitu Siti Aishah Che Hassan, 20-an dan Husna Che Leh, 23 yang kedua-duanya merupakan warga Thailand.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua lagi mangsa iaitu anak pasangan suami isteri itu, Puteri Asyah, 4, dan seorang bayi perempuan dikenali sebagai Siti Sarah yang juga anak Siti Aishah pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah Seman dan Miss Jaruayporn di Batu Burok, Kuala Terengganu dari Batu Berendam, Melaka.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna, Toyota Estima yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi pembahagi jalan.


"Rempuhan itu menyebabkan kenderaan pelbagai guna itu remuk teruk dan Miss Jaruayporn yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar sejauh beberapa meter," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment