Translate

Sunday, February 17, 2019

Maut angkara letupan bom ikan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) maut selepas terkena bahan letupan dipercayai bom ikan yang dipasang­nya sendiri di Sungai Pengkalan Merbau berhampiran Sungai Tong dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, mengalami kecederaan parah pada perut, muka dan kedua-dua tangan sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Tong dekat sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak dikatakan pergi memukat ikan di sungai berkenaan bersama tiga ahli keluarganya.

Katanya, mereka yang berasal dari Chalok di sini memukat ikan di Sungai Pengkalan Merbau dengan menaiki sampan.

“Ketika berada di sungai itu, mangsa yang dikatakan meme­gang bungkusan berwarna hitam disyaki mengandungi bahan letupan telah turun ke tebing sungai berhampiran.

“Dia juga menyuruh ahli ke­luarganya yang lain untuk memasang pukat di hilir sungai. Tidak lama kemudian, tiga lelaki itu terdengar bunyi letupan kuat dari arah mangsa,” katanya di sini semalam.
Zulkifli berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang panik telah menjerit nama Nur Kamarul Adnan, namun tidak berjawab menyebabkan mereka menuju ke lokasi anggota Paskal itu.

Ujar beliau, sebaik tiba ke lokasi itu,  mangsa ditemui dalam keadaan terbaring de­ngan kecederaan pada muka, perut dan kedua-dua belah tangan dipercayai akibat terkena letupan bom ikan.

“Tiga ahli keluarganya kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Tong di sini.

“Mangsa bagaimanapun di­sahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan pada pukul 5.45 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Zulkifli berkata, mayat Nur Kamarul Adnan kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat  mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan menyerahkan pro­ses siasatan kes kematian anggota Paskal berkenaan kepada pihak polis.

No comments:

Post a Comment