KUALA TERENGGANU – Foto Muhammad Syukur Khamis, 14, bersama kerbau ternakan bapanya sekali lagi bertuah apabila gambarnya terpilih sebagai finalis Anugerah Fotografi Akademi Camarena (CAPA) India 2019.
Jurugambar bebas, Abdullah Dean Mohd. Zain, 44, berkata, gambar Muhammad Syukur sedang duduk di hadapan sekumpulan kerbau sambil mukanya bertentang mata dengan seekor daripadanya telah terpilih antara 10 foto terbaik yang memasuki peringkat akhir anugerah tersebut.
“Ini kali kelima gambar Muhammad Syukur bersama kerbau yang dirakam saya tersenarai sebagai finalis pertandingan foto tersebut sejak tahun 2016.
“Bagi saya gambar dia (Muhammad Syukur) bersama kerbau memang bertuah hingga kerap menarik perhatian juri yang terdiri daripada mentor pemilih dan penilai,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Abdullah Dean, gambar yang terpilih di peringkat akhir CAPA terbabit bakal bertanding bagi kategori Kehidupan Harian.
Beliau berharap tuah Muhammad Syukur yang kini mendapat jolokan ‘Mowgli Malaysia’ akan memihak kepadanya kali ini setelah empat gambar lain yang pernah tersenarai sebagai finalis pertandingan itu edisi sebelumnya tidak terpilih menggondol hadiah utama.
Baru-baru ini, gambar Muhammad Syukur bermesra dengan sekumpulan kerbau peliharaan yang dirakam jurugambar Nazri Sulaiman memenangi anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Itali sehingga menyebabkan remaja itu menjadi terkenal sekelip mata.
No comments:
Post a Comment