Translate

Tuesday, February 19, 2019

JDT kecewa terlepas tiga mata dalam genggaman

KEPUTUSAN seri 2-2 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi ketiga Liga Super malam kelmarin bukan sesuatu yang menggembirakan buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengendali JDT, Luciano Figueroa berkata, skuad kendaliannya bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin dengan misi untuk me­lebarkan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan.

Misi tersebut hampir dilaksanakan selepas JDT bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama untuk mendahului 2-1 ke atas skuad kendalian Irfan Bakti itu sebelum harapan untuk membawa pulang tiga mata berkecai hasil jaringan penyamaan tuan rumah pada minit-minit akhir permainan.

“Kami sememangnya mahu menang pada pertemuan ini namun nampaknya ia tidak berlaku dan sudah pasti saya tidak gembira (de­ngan keputusan ini).

“Sepatutnya kami mampu membawa pulang tiga mata, tetapi pemain gagal menahan asakan pasukan lawan sehingga wisel penamat (dengan melepaskan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan),” katanya ketika ditemui selepas aksi tersebut kelmarin.

Figueroa juga enggan mengulas terhadap mutu pengadilan yang didakwa memberi kelebihan kepada pasukannya termasuk dua sepakan penalti pada babak pertama dan kedua.

“Penalti ialah penalti, kita tidak boleh mempertikai keputusan pe­ngadil. Apabila pengadil memberi ke­lebihan terhadap kami, ramai orang akan mempertikaikannya namun jika sebaliknya yang berlaku, tiada siapa pula yang menghiraukannya.

“Tiada apa yang boleh mengubah keputusan. Ia telah lama berlaku di Liga Malaysia sejak saya hadir di sini lagi (sebagai pemain pada tahun 2014),” ujarnya.

No comments:

Post a Comment