Translate

Wednesday, May 11, 2016

Tak sempat lepas gian dalam bot

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat 11 nelayan termasuk dua warga Thailand untuk melepaskan gian menagih dadah di dalam bot nelayan dan rumah rakit tidak kesampaian apabila diserbu polis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun itu panik hingga nekad cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Terengganu.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, kepantasan sepasukan polis yang sedia mengepung lokasi itu dengan bantuan dua bot berjaya memberkas kesemua mereka.

“Seorang lelaki berusia 20-an berasal dari Kampung Batu 6, Kuala Nerus di sini dipercayai dalang yang membekalkan dadah kepada nelayan terbabit berjaya meloloskan diri dan gerakan memburunya sedang giat dilakukan.

“Pemeriksaan di dalam bot nelayan dan rumah rakit tersebut pula telah menjumpai 161 biji pil kuda, empat botol disyaki me­ngandungi dadah jenis heroin dan dua botol ubat batuk yang kesemuanya berjumlah RM2,800 dan wang tunai berjumlah RM1,214,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.

Idris berkata, dua lelaki warga Thailand berusia 30-an yang turut ditahan bekerja sebagai awak-awak bot nelayan berkenaan dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, ujian air kencing ke atas 11 suspek juga mendapati ­semuanya positif dadah dan modus operandi mereka ialah menjadikan bot nelayan dan rumah rakit tersebut sebagai lokasi untuk melepaskan gian menagih dadah selepas keluar menangkap hasil laut.

“Risikan mendapati, urus niaga pembelian dadah juga berlaku di dalam bot nelayan dan rumah rakit berkenaan yang ditambat kira-kira 25 meter dari tebing su­ngai dan ia sudah berlarutan sejak setahun lalu.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1)serta 12 (2) akta sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment