Translate

Friday, April 20, 2018

Pengurus restoran sebar gambar lucah bekas teman wanita dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia menukar pe­ngakuan bersalah bagi tiga pertuduhan menyebarkan gambar lucah bekas teman wanita­nya yang kini merupakan seorang doktor di dalam laman blog, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha me­ngarahkan tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan secara berasingan.

Ketika dituduh pada 28 Mac lalu, bapa kepada seorang anak berusia dua tahun itu mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan dan dia ditahan di Penjara Marang apabila gagal membayar wang jaminan yang ditetapkan seba­nyak RM30,000.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, beliau bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa perbuatan tertuduh menyebarkan gambar mengaibkan mangsa adalah keji dan bertujuan untuk menghancurkan masa depan wanita itu.

“Tertuduh dalam rayuannya juga tidak menunjukkan sebarang kekesalan mahu pun memohon maaf kepada mangsa atas perbuatannya itu,” katanya.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Khairul didakwa telah memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk menganiaya pengadu.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Atas Tol, di sini didakwa memuat naik kandungan lucah itu di dalam laman blog menerusi apli­kasi blogspot dan wordpress dari 4 Julai hingga 16 Jun 2015.

Pengadu terbaca kandungan itu di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu pada pukul 3 petang, 3 Ogos 2015 sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

No comments:

Post a Comment