Pakatan pembangkang kini ibarat retak menanti belah
MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Hubungan antara parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang diibaratkan sebagai sebuah pinggan yang sudah pecah cuba dicantumkan semula.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, rakyat boleh menilai dan melihat sendiri perbalahan berterusan dalam kalangan pemimpin pembangkang, termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, hubungan itu akan terus berantakan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membaikinya, termasuk mengadakan sambutan hari lahir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini.
“Bagi saya, hubungan di kalangan parti pembangkang bukan setakat ibarat retak menanti belah tetapi sudah terbelah pun.
“Mereka bersungguh-sungguh memperbaikinya, tetapi ibarat cuba mencantumkan semula pinggan yang sudah pecah dengan gam; gam gajah barangkali. Pinggan itu tetap akan jatuh pecah berderai,” katanya mengulas pertikaian berterusan antara DAP dan Pas dalam isu peng gunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di sini semalam.
Karpal dipetik sebagai menyanggah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isu tersebut sudah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini yang memutuskan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sahaja telah diterima baik pemimpin DAP.
No comments:
Post a Comment