Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan terperanjat besar apabila menyedari seekor ular sawa seberat kira-kira 26 kilogram cuba membelit lehernya ketika tidur di rumahnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, Nor Alia Aqilla Jamaluddin, 18, terselamat apabila terjaga daripada tidur selepas merasai ada objek lembik sedang bergerak dan melingkari lehernya.
“Pergerakan pada bahagian leher itu membuatkan saya tersedar daripada tidur. Biarpun bilik tidur agak gelap ketika itu, saya dapat melihat kepala ular itu mahu menghampiri leher saya sambil lidahnya terjelir keluar.
“Saya yang terkejut bingkas bangun daripada katil dan terus membuka lampu bilik. Sebaik menyedari kelibat ular sawa batik sepanjang kira-kira 3.3 meter di bawah katil, saya tidak menunggu lama, sebaliknya terus berlari meninggalkan bilik dan menjerit,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Nor Alia Aqilla berkata, jeritannya itu disedari semua ahli keluarganya sebelum ibu saudaranya, Nor Elida Khaidir, 27, bertindak menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
Ujarnya, sementara menunggu kehadiran sepasukan anggota bomba yang tiba pada pukul 5.30 pagi, mereka sekeluarga menunggu di luar rumah kerana terlalu risau keselamatan mereka.
“Ular tersebut yang menyorok di bawah katil di bilik tidur saya kemudiannya berjaya ditangkap empat anggota bomba tidak lama kemudian.
“Walaupun masih keliru dan tertanya-tanya bagaimana ular sawa berkenaan boleh memasuki rumah kami yang terletak di tingkat 14, namun saya bersyukur kami sekeluarga terselamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment