Translate

Sunday, March 24, 2019

Parah ditetak lelaki bertopeng

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

BESUT - Seorang pengusaha bengkel kimpalan produk besi dan keluli cedera parah selepas ditetak penjenayah dalam kejadian disyaki bermotifkan dendam di premis perniagaannya di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhajiri Mat Yazid, 36, putus urat siku tangan kiri dan luka di bahagian dahi selepas ditetak  suspek.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang berada di bengkelnya bersama seorang pekerjanya yang merupakan jurukimpal berusia 36 tahun.

"Premis perniagaan mereka tiba-tiba dimasuki dua orang lelaki tidak dikenali yang bertopi keledar dan menutup muka masing-masing dengan topeng berwarna hitam.

"Kedua-dua suspek yang bersenjatakan pedang itu kemudiaan terus meluru kepada mangsa yang dikenali penduduk tempatan sebagai Pok Yi lalu menetaknya sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha 135LC," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, Muhajiri yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan dan keadaan dilaporkan stabil.

Menurut beliau, siasatan awal tidak menolak kemungkinan serangan terhadap peniaga tersebut bermotifkan dendam.

"Sebelum ini mangsa pernah membuat laporan polis berhubung bengkelnya dipecah masuk pada 2 Januari lalu.

"Susulan daripada itu, dua suspek telah ditahan dengan salah seorang daripada dituduh berhubung dakwaan memecah kedai itu di mahkamah baru-baru ini," katanya.

Jelasnya setakat ini, pihak polis percaya serangan tetak yang menimpa Muhajiri mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Ujarnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment