MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Kerjasama Pas dan UMNO dalam agenda penyatuan ummah di negara ini tidak pernah bertujuan untuk mengembalikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke tampuk pemerintahan.
Sebaliknya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan ia bertujuan untuk menyatukan padukan orang Melayu negara ini yang dilihat semakin berpecah akibat idealogi politik.
Beliau berkata, malah Pas sebenarnya menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Bukan (kerana) Najib. Beliau sudah tidak jadi Perdana Menteri, bukan Presiden UMNO pun. Sekarang Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, kita pertahankan dia sampai habis penggal.
"(Kerjasama Pas dan UMNO kerana) kita hendak mengembalikan kepimpinan orang Melayu sebab itu kita sokong Tun Mahathir jadi Perdana Menteri sampai PRU-15," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Tazkirah Warga Kerja Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sebelum ini Mahathir dalam blog rasminya, chedet.cc berpendapat kerjasama secara rasmi yang dijalin antara Pas dan UMNO sejak Selasa lalu bertujuan untuk mengembalikan Najib sebagai Perdana Menteri. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment