MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis, 14, yang dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' dikejarkan ke hospital selepas terjatuh dari kerbau di kandang ternakan bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini hari ini.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini ditahan ke dalam wad sesudah menjalani rawatan awal di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 9 malam.
Abang remaja itu, Mohd Alias Khamis, 29, berkata, Muhammad Syukur terjatuh dari kerbau ternakan bapa mereka sewaktu menjalani sesi fotografi bersama seorang jurugambar dari Pulau Pinang pada pukul 8 pagi.
"Pada masa itu, dia cuba melompat dari belakang seekor kerbau untuk ke seekor kerbau lain namun telah hilang imbangan sebelum terjatuh ke tanah.
"Adik bongsu saya itu mengadu pening sebelum termuntah sejurus terjatuh. Begitu pun keadaannya nampak stabil selepas itu dan sempat mengikut saya keluar ke pusat bandar raya Kuala Terengganu pada petang tadi (semalam)," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HSNZ di sini sebentar tadi.
Mohd. Alias berkata, Muhammad Syukur didapati kembali muntah sewaktu hampir senja semalam sebelum mereka sekeluarga memutus untuk menghantarnya ke HSNZ untuk pemeriksaan.
Beliau berkata, sewaktu menjalani pemeriksaan rawatan awal di wad kecemasan, pegawai perubatan bertugas memutuskan untuk menahan Muhammad Syukur bagi pemeriksaan lanjut.
"Menurutnya, adik saya akan menjalani prosedur imbasan kepala bagi mengenalpasti kemungkinan kecederaan pada masa terdekat.
"Setakat ini, dia masih boleh tersenyum walaupun kelihatan agak lemah. Saya mohon doakan kesejahteraan adik saya itu," katanya. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment