Translate

Thursday, March 14, 2019

SPM: Pelajar masalah penglihatan cemerlang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kekurangan diri akibat masalah penglihatan tidak menjadi halangan buat Ahmad Shahir Safwan Ahmaf Sabri untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang, Dungun tersebut memperoleh 5A termasuk satu A+ dalam subjek Pendidikan Syariah Islamiah sekali gus muncul calon Berkeperluan Khas terbaik Terengganu.

"Mata kanan saya rosak 100 peratus manakala mata kiri pula cuma berfungsi 20 peratus selepas disahkan menghidap penyakit glaukoma yang telah merosakkan saraf optik pada dua tahun lalu.

"Keadaan ini memberi cabaran besar kepada saya untuk belajar. Kepala saya berdenyut kuat setiap kali membaca terutama pada waktu malam terpaksa bergantung kepada satu mata sahaja," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek di sini hari ini.

Terdahulu dia menerima sijil penghargaan atas kecemerlangannya dalam SPM 2018 tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satipul Bahri Mamat.


Ahmad Shahir yang berasal dari Balai Besar, Dungun berkata, pada mulanya dia memang patah semangat mengenangkan nasib namun dorongan ibubapa, guru dan rakan sekolah telah mengembalikan semula motivasinya untuk meneruskan pembelajaran demi masa depan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment