Translate

Monday, March 18, 2019

JBPM sasar lebih ramai wanita pilih kerjaya bomba

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penyertaan sehingga 30 peratus golongan wanita bagi mengisi 3,000 kekosongan bagi jawatan pegawai dan anggota di agensi berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini, penglibatan wanita dalam JBPM sangat rendah iaitu lebih kurang 200 orang daripada 14,000 kakitangan yang terdapat di seluruh negara.

"Di Terengganu misalnya hanya terdapat 13 pegawai dan anggota bomba wanita daripada keseluruhan 731 kakitangan. Tidak sampai satu peratus pun dan keadaannya lebih kurang sama di negeri-negeri lain.

"Saya hendak lebih banyak wanita menjadikan bomba sebagai kerjaya mereka," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran bersama Sedia Urus Suri Rumah (Suri) di pejabat JBPM Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Amer Yusof dan Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.


Zuraida berkata, stigma kononnya perkhidmatan kebombaan terhad kepada kerja-kerja pemadaman api kebakaran semata-mata perlu dikikis kerana sentuhan wanita sebenarnya amat diperlukan terutama dalam menangani kejadian trauma dan bencana alam. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment