Translate

Monday, March 18, 2019

Lima sekeluarga disyaki pengedar air ketum ditahan

DUNGUN - Tembelang lima individu termasuk seorang wanita yang mempunyai pertalian keluarga bergiat aktif mengedar air ketum terbongkar berikutan penahanan mereka di sebuah rumah di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya dekat sini pada kelmarin.

Sewaktu ditahan dalam dua serbuan di lokasi sama pada pukul 1.15 petang dan 2.30 petang itu, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 47 tahun tersebut sedang leka memproses air ketum.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat aktiviti penjualan air ketum serendah RM2 sebungkus untuk pasaran di sekitar gugusan Felda Kerteh dekat sini yang disyaki didalangi kelima-lima individu terbabit.

"Dalam serbuan pertama pada pukul 1.15 petang, empat lelaki ditahan sewaktu mereneh seperiuk cecair kehijauan dipercayai pati daun ketum sebanyak kira-kira 5.59 liter di bahagian dapur rumah berkenaan.

"Seguni daun ketum belum diproses seberat hampir 2.39 kilogram (kg), 15 bungkus dipercayai mengandungi air ketum seberat lebih kurang 2.33 liter turut dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya turut menjumpai sejumlah ketulan ais yang dipercayai mahu digunakan untuk menyejukkan air ketum yang sedang dimasak terbabit. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment