Translate

Saturday, March 30, 2019

Saintis wanita kemudi kapal RV Discovery ke LIMA’19

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung-julung kali memberi penghormatan kepada saintis wanita untuk mengemudi kapal penyelidikannya, RV Discovery untuk misi pelayaran bagi menyertai Pa­meran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula semalam.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, Dr. Roswati Md. Amin yang merupakan Pengerusi Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang ketua pelayaran bagi misi selama 20 hari sehingga 6 April depan.

“Misi pelayaran yang turut disertai 25 saintis lapangan dan makmal termasuk lima wanita akan mengelilingi Laut China Selatan dan Selat Melaka sejauh 1,885.7 batu nautika.

“Selain menyertai LIMA’19 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac ini, RV Discovery kali ini juga akan melakukan kajian sains marin dan perubahan iklim Malaysia di 45 lokasi persinggahan termasuk di Pulau Perak, Kedah,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Duyung Marina di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik UMT: Me­nelusuri LIMA’19 yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zai­nal Abidin. Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Nor Aieni memberitahu, sampel-sampel hidupan marin yang akan diambil sepanjang pelayaran itu membolehkan pihaknya mengetahui status terkini persekitaran marin di Semenanjung Malaysia.

“Maklumat yang diperoleh akan menjadi asas kepada penentuan status produktiviti dan ancaman kepada alam sekitar termasuk manusia akibat pencemaran dan perubahan iklim," jelasnya.

No comments:

Post a Comment