Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang sedang hamil lima bulan mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dicederakan suaminya tanpa sebab di Paka, Dungun kelmarin.
Mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa ditampar, dipijak dan dipukul dengan sebatang spanar oleh suaminya di sebuah kawasan hutan di Jalan Santong, Paka, Dungun pada pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut yang sedang dalam proses penceraian telah dijemput oleh suaminya dari rumah keluarganya di Kampung Cacar, Paka, Dungun.
"Suspek yang berusia 30 tahun mengajak mangsa untuk menjenguk anak sulung mereka berusia setahun yang dikatakan sedang demam di rumah kakaknya di Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman.
"Begitupun, sewaktu mereka melalui sebuah kawasan hutan di Jalan Santong, Paka, Dungun, suspek tiba-tiba memberhentikan motosikalnya sebelum menghumban mangsa ke tanah dan menamparnya," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Baharudin berkata, lelaki itu kemudiannya terus melepaskan geram dengan memijak kaki isterinya selain memukulnya dengan spanar.
Menurut beliau, suspek seterusnya membawa isterinya ke rumah kakaknya selepas puas membelasah mangsa.
"Mangsa yang menanggung kesakitan akibat dipukul suspek telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Paka, Dungun hari ini (semalam).
"Siasatan mendapati pasangan suami isteri itu dalam proses penceraian dan mula tinggal berasingan baru-baru ini," katanya.
Katanya, suspek sedang diburu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
habis
No comments:
Post a Comment