Translate

Wednesday, March 20, 2019

Institut Sukan Negeri Terengganu ditubuhkan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KERAJAAN negeri Te­rengganu akan menu­buhkan Institut Sukan Negeri (ISN) tersendiri pada masa terdekat bagi memastikan kelestarian kecemerlangan atlet-atlet daripada negeri tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu terpaksa dilakukan selepas semua cawangan Institut Sukan Negara di peringkat negeri di bawah kawal selia kerajaan Persekutuan telah menutup operasinya di seluruh negara sejak awal tahun ini.

“Elemen sains sukan merupakan satu keperluan yang amat penting bagi menjamin kecemerlangan atlet. Ketiadaan ISN tersebut sedikit sebanyak telah merencatkan perancangan sukan di negeri ini.

“Sehubungan itu, kita merancang untuk me­nubuhkan sendiri ISN yang akan dikawal selia kerajaan negeri (Terengganu) pada masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Sukan Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan ne­geri secara dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan ISN tersebut yang dijangka bakal menelan belanja sehingga RM4 juta.
Jelasnya, penubuhan ISN yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh tiga bulan itu akan beroperasi di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Kita juga telah me­ngenal pasti pakar-pakar sains sukan bagi membantu penubuhan ISN ini. Operasi agensi ini juga di­sasar mendapat kerjasama pihak swasta dalam segi penajaan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, penubuhan ISN itu juga merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri bagi mencapai misi mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukan Malaysia 2020 di Johor pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment