KUALA TERENGGANU - Terengganu bakal meneroka pelaburan baharu dalam industri teknologi robotik sebagai insiatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber berasaskan minyak dan gas.
Menteri MITI, Datuk Darell Leiking berkata, negeri tersebut berpotensi besar untuk menjadi hab latihan modal insan dalam teknologi robotik yang merupakan antara industri penting bakal memacu pertumbuhan negara pada masa depan.
"Saya mendapati Terengganu sudah memiliki infrastruktur bagi membangunkan sebuah pusat kecemerlangan modal insan khusus dalam teknologi robotik.
"Pusat ini bertujuan melatih tenaga tempatan dari Pantai Timur dalam bidang berkenaan selaras dengan kehendak Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir) mahu memakmurkan lagi wilayah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Leiking berkata, agensi dibawah kementeriannya akan menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu bagi merangka penubuhan pusat kemahiran teknologi robotik berkenaan pada masa terdekat. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment