Translate

Wednesday, March 20, 2019

Perak tetap puas hati biar pun seri

PERAK tetap berpuas hati walaupun sekadar berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic berkata, walaupun masih gagal melakar kemenangan sulung selepas mengharungi empat aksi liga, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana anak buahnya telah menunjukkan prestasi terbaik pada aksi terbaru dengan skuad Penyu.

"Kami menguasai aksi, mencipta beberapa peluang terbaik dan hampir memenangi perlawanan sebelum disamakan pasukan tuan rumah pada minit-minit terakhir perlawanan.

"Memang sedikit kecewa gagal membawa pulang tiga mata penuh namun kita perlu sedar TFC I merupakan pasukan kuat dan mempunyai pemain dan pengurusan yang baik," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mehmed berkata, dia amat gembira dengan prestasi memberansangkan ditunjukkan anak buahnya dan percaya skuad Bos Gaurus kendaliannya bakal memperoleh kemenangan sulung pada masa terdekat.

Mengulas kontroversi dicetuskan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali yang meniup wisel penamat awal sedang masa kecederaan masih berbaki empat minit, beliau percaya ia berpunca daripada masalah komunikasi.

"Saya percaya kekeliruan itu timbul akibat masalah komunikasi antara pengadil (Razlam Joffri) dengan pegawai perlawanan yang lain.

"Tidak apalah, ini bola sepak dan kita harus bersedia menghadapi segala kemungkinan. Kami akan pulang ke Ipoh dengan satu mata dan bersedia pula untuk aksi seterusnya," katanya.

No comments:

Post a Comment