Translate

Wednesday, March 27, 2019

6 sekeluarga edar ketum ditahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Tembelang lima lelaki dan seorang wanita yang mempunyai pertalian keluarga bergiat aktif mengedar air ketum terbongkar selepas kesemuanya ditahan di sebuah rumah di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya dekat sini, Jumaat lalu.

Ketika ditahan dalam dua serbuan di lokasi sama pada pukul 1.15 petang dan 2.30 petang itu, kesemua suspek berusia dalam lingkungan antara 16 hingga 47 tahun sedang leka memproses air ketum.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung aktiviti penjualan air ketum serendah RM2 sebungkus untuk pasaran di sekitar gugusan Felda Kerteh dekat sini yang disyaki didalangi kelima-lima individu terbabit.

“Dalam serbuan pertama pada pukul 1.15 petang, empat lelaki ditahan sewaktu sedang mereneh seperiuk cecair kehijauan dipercayai pati daun ketum seberat kira-kira 5.59 liter di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Seguni daun ketum belum diproses seberat hampir 2.39 kilogram (kg), 15 bungkusan dipercayai mengandungi air ketum seberat kira-kira 2.33 liter turut dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini semalam.

Baharudin berkata, pihaknya turut menjumpai sejumlah ketulan ais yang dipercayai digunakan untuk menyejukkan air ketum yang sedang dimasak.

Ujar beliau, dalam serbuan kedua di lokasi sama pada 2.30 petang pula, dua suspek lain iaitu wanita berusia 25 tahun dan lelaki berumur 47 tahun pula berjaya ditahan di samping penemuan seguni daun ketum seberat kira-kira 2.30 kg.

“Ujian air kencing mendapati dua daripada lima suspek itu positif dadah jenis pil kuda selain mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment