Translate

Friday, March 1, 2019

Peruncit didenda RM100,000 jual rokok seludup elak cukai kastam

KUALA TERENGGANU – Seorang peruncit didenda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual rokok seludup semalam.

Ramlah Drahman, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim. Abdul Hayyi juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berjumlah RM100,000 tersebut.

Ramlah yang tidak diwakili peguam bela membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ramlah didakwa memiliki rokok seludup pelbagai jenama yang didapati tidak dibayar cukai dan duti kastam bernilai RM824.32.

Perbuatan itu dikesan dalam serbuan pasukan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia di kedai runcit milik tertuduh di Chendering di sini pada pukul 10 malam, 14 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, pasukan penguat kuasa kastam Terengganu berkenaan melakukan serbuan di premis terbabit selepas memperoleh maklumat berhubung penjualan rokok seludup.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali nilai barangan rampasan atau RM100,000 mengikut mana yang lebih tinggi atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment