Translate

Wednesday, March 20, 2019

Anugerah keenam Azizulhasni

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, dinobat sebagai Olahragawan Terengganu buat kali keenam pada Anugerah Sukan Negeri 2018 kelmarin.

Atlet kelahiran Dungun itu yang juga penerima anugerah Olympian Lelaki 2018 daripada Majlis Olimpik Malaysia, dipilih berdasarkan kecemerlangannya meraih satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada Sukan Asia Palembang, Indonesia pada tahun lalu.

“Anugerah (Olahragawan Terengganu) ini bukan untuk saya semata-mata tetapi diharap dapat menyuntik motivasi kepada atlet-atlet muda negeri ini. Suatu ketika dahulu saya juga seperti mereka yang terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri untuk membeli peralatan sukan.

“Begitupun, berkat kerja keras, sokongan keluarga dan kerajaan negeri serta menjaga hubungan dengan Allah, saya berjaya buktikan bahawa atlet bertubuh kecil seperti saya juga mampu menjadi juara dunia (acara berbasikal),” kata Azizulhasni.

Terdahulu Azizulhasni, 31, yang merupakan anak kelahiran Dungun, Terengganu menerima anugerah tersebut daripada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis tersebut yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Pada majlis yang sama, ratu pencak silat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir turut dinobatkan sebagai Olahragawati Terengganu.

Pemilihan Siti Rahmah, 31, yang juga anak jati Kuala Terengganu pula berdasarkan kejayaannya mempertahankan pingat emas di Kejohanan Silat Dunia dan pingat perak di Kejohanan Silat Asia Terengganu.

Mereka masing-masing menerima ganjaran wang tunai RM7,000, piala pusingan dan ­iringan serta sijil penghargaan.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said diberi penghormatan sebagai Tokoh Sukan pada majlis sama.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 1994 dianggap sebagai arkitek pembangunan sukan negeri, selain pelopor penubuhan kelab sukan profesional se­perti Pasukan Hoki Terengganu (THT), Terengganu Cycling Team (TSG) dan Pasukan Kuda Lasak Negeri Terengganu (STET).

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu pula dinobatkan sebagai Persatuan Sukan Terbaik apabila kesemua lima pasukan induk dan pelapis negeri berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala Cabaran, Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan Piala Belia pada musim lalu.

No comments:

Post a Comment