Translate

Sunday, March 17, 2019

Liga Super: TFC I ceria raih kemenangan sulung

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) lega akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung di laman sendiri selepas menumbangkan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, diikat tiga kali berturut-turut oleh skuad pelawat iaitu PKNS FC, Johor Darul Ta'zim dan Perak di hadapan penyokong sendiri dalam aksi Liga Super sebelum ini sedikit sebanyak meresahkan pengurusan pasukan.

"Sebelum perlawanan (menentang Melaka United) bermula, saya katakan kepada pemain-pemain, kita perlu menang malam ini (kelmarin) demi penyokong.

"Jangan hampakan mereka (penyokong) lagi kali ini yang sentiasa berada di belakang kita dan setia memenuhkan stadium sejak awal musim," katanya selepas perlawanan semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan Bakti memberitahu beliau gembira pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov yang baharu menyertai TFC I musim ini berjaya meledak gol sulung peribadinya pada aksi tersebut.


Jurulatih berpengalaman itu berkata, pada masa sama, penyerang utama, Kipre Tchetche yang dilucutkan lilitan kapten pasukan juga didapati telah menunjukkan peningkatan pada aksi dengan Melaka United berkenaan walaupun masih kemarau gol. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment