Translate

Tuesday, March 19, 2019

Azizulhasni dinobat Olahragawan Terengganu 2018

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 31, dinobat sebagai Olahragawan Terengganu buat kali keenam pada Anugerah Sukan Negeri 2018 malam tadi.

Beliau yang juga penerima anugerah Olympian Lelaki 2018 daripada Majlis Olimpik Malaysia dipilih berdasarkan kecemerlangannya meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Asia Palembang, Indonesia pada tahun lalu.

"Anugerah (Olahragawan Terengganu) ini bukan untuk saya semata-mata tetapi diharap dapat merangsang motivasi kepada atlet-atlet muda negeri ini. Saya dahulu juga seperti mereka mengeluarkan wang poket sendiri untuk membeli peralatan sukan.

"Begitupun berkat kerja keras, sokongan keluarga, dan kerajaan negeri serta menjaga hubungan dengan Allah, saya berjaya buktikan atlet bertubuh kecil seperti saya juga mampu menjadi juara dunia (acara berbasikal)," katanya.

Terdahulu beliau menerima anugerah tersebut daripada Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis Anugerah Sukan Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam tadi.

Pada majlis sama, ratu pencak silat kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir, 31, turut dinobatkan sebagai Olahragawati Terengganu.


Mereka masing-masing menerima ganjaran wang tunai RM7,000, piala pusingan dan iringan, sepasang blazer serta sijil kepujian. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment