Translate

Tuesday, March 26, 2019

Pas nafi tidak menyokong BN

MARANG - Pas menafikan dakwaan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya parti itu tidak menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti sebenarnya memberitahu Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa tahap komitmen dan kadar penglibatan Pas dalam PRK DUN Semenyih adalah berbeza berbanding PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.

"Sepanjang pertemuan dengan Perdana Menteri (Mahathir) itu,  Presiden (Abdul Hadi) menyatakan pendirian Pas kekal konsisten meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lain.

"Pas juga tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Bersatu dan Pakatan Harapan (PH)," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Rusila di sini semalam.

Turut hadir  Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Mengulas lebih lanjut tentang maksud tahap komitmen dan kadar penglibatan yang berbeza dalam PRK DUN Semenyih itu, Takiyuddin sekadar memberitahu ia terbuka kepada pemahaman masing-masing.

Beliau menjelaskan pendirian Pas tersebut telah dimaklumkan kepada kepimpinan UMNO dan ia telah diterima baik dan terbuka oleh parti yang dipimpin Datuk Seri Mohamad Hassan.

"Apa yang pasti, Pas telah terlibat dalam majlis pengisytiharan calon BN dan hari penamaan PRK DUN Semenyih dan telah mengatur jadual kempen bersama-sama (BN)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin menjelaskan surat akuan bertulis yang diserahkan kepada Mahathir itu merupakan komitmen Pas menyokong kepimpinan Perdana Menteri itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

"Pas telah menghidu sesuatu yang tidak kena bakal berlaku kepada kerajaan Persekutuan sehingga Perdana Menteri (Mahathir) telah mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan sekiranya mana-mana parti dalam PH melakukan pengkhianatan kepada negara

"Oleh itu, Pas memberi komitmen untuk terus menyokong kepimpinan beliau demi menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa," katanya.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan Mahathir berkata, Abdul Hadi memberitahunya Pas telah memutuskan untuk tidak menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih.

No comments:

Post a Comment