KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur di hadapan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan adik perempuannya dengan memukul kepala mangsa dengan pinggan kaca pada Isnin lalu.
Tertuduh, Ahmad Kamal Mohamad, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Kamal didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adik perempuannya, Norfatihah, 26, dengan memukul mangsa menggunakan pinggan kaca.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus pada pukul 8 malam, 25 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah manakala Ahmad Kamal pula tidak diwakili peguam bela.
Wan Mohd. Izzat mencadangkan agar jaminan tidak ditawarkan terhadap Ahmad Kamal kerana pertuduhan dikenakan merupakan kes jenayah berat dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mangsa yang mempunyai pertalian keluarga dengan tertuduh.
Azman menerima cadangan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mac depan.
Difahamkan mangsa yang sedang berbual dengan ibunya di ruang tamu rumah mereka dimarahi abangnya, Ahmad Kamal dengan menyuruhnya diam.
Tertuduh kemudiannya memukul wanita itu dengan pinggan kaca sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima rawatan enam jahitan di kepalanya.
No comments:
Post a Comment