Translate

Friday, March 8, 2019

Liga Super: TFC I, Perak seri 1-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) dan Perak berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Perak mendahului menerusi jaringan pemain tengah import Perak, Wander Luiz Junior yang berjaya mengelirukan penjaga gawang tuan rumah Mohd. Suffian Rahman pada minit ke-71.

Begitu pun, sewaktu skuad Bos Gaurus berada di ambang untuk meraikan kemenangan sulung mereka, TFC I dihadiahkan penalti selepas pemain tengah importnya, Lee Tuck dijatuhkan di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-89.

Tuck yang merupakan pemain berdarah kacukan Inggeris dan Malaysia mudah menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Jothy untuk gol penyamaan.

Sejurus itu, pengadil Razlan Joffri Ali mencipta kontroversi apabila secara tiba-tiba meniup wisel penamat walaupun sebenarnya masa kecederaan telah dilanjutkan selama empat minit.

Aksi hanya bersambung semula hampir lima minit kemudian selepas Razlan Joffri akhirnya akur berikutan bantahan daripada pegawai kejurulatihan kedua-dua pasukan.

Begitu pun, rentak permainan jelas terjejas dengan beberapa pemain termasuk Kenny Pallraj Davaragi dari Perak mengalami kekejangan otot ekoran perlawanan dihentikan secara tiba-tiba.

Terdahulu, skuad Bos Gaurus hampir memecah kebuntuan namun percubaan penyerang import, Gilmar Da Silva berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Mohd. Suffian pada minit ke-16.


Peluang TFC I pula muncul pada masa kecederaan babak pertama namun rembatan padu kapten pasukan, Kipre Tchetche sedikit melepasi palang. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment