MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) menumbangkan Melaka United 3- 0 pada aksi keenam Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu menamatkan kemarau kemenangan skuad Penyu di laman sendiri selepas sekadar mencatat tiga kali seri dengan PKNS FC, Johor Darul Ta'zim dan Perak di stadium sama sebelum ini.
Tandukan padu pemain pertahanan, Nasrullah Haniff Johan yang memanfaatkan sepakan penjuru diambil Chanthacheary Bin berjaya meletakkan tuan rumah garang mendahului pada minit ke-24.
Pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov pula menambah luka Melaka United apabila meledak gol kedua TFC I yang juga jaringan peribadi pertamanya musim ini pada minit ke-41.
Gawang pasukan pelawat yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat terus bolos buat kali ketiga hasil rembatan padu pemain gantian skuad Penyu, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-74.
Terdahulu tiga percubaan penyerang import Melaka United, Anselmo Da Silva untuk membocori gawang tuan rumah masing-masing pada minit ke-25, 38 dan 39 gagal disebabkan kecekapan penjaga gol TFC I, Mohd. Suffian Rahman yang juga kapten pasukan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment