Translate

Monday, March 4, 2019

Abdul Bari, lima lagi terima penghargaan

KUALA TERENGGANU – Enam lelaki yang dinobatkan sebagai Wira Darul Iman pada Jumaat lalu menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, penghargaan tersebut sebagai mengiktiraf sumbangan mereka termasuk Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. yang terkorban selepas menyelamatkan lima sekeluarga terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm di Sungai Terengganu pada 8 Februari lalu.

Beliau berkata, lima individu lain yang turut menerima sijil tersebut ialah Saiful Anuar Mohd., 37; Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37; Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33.

“Keenam-enam mereka telah memberanikan diri dengan mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan mangsa, malangnya salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia (akibat lemas).

“Hari ini (semalam), sebagai menghargai jasa dan keberanian mereka, ke­semua Wira Darul Iman ini dianugerahkan surat penghargaan khas PDRM,” katanya selepas menye­rahkan surat penghargaan tersebut pada Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Selain lima Wira Darul Iman terbabit, surat penghargaan untuk Abdul Bari yang meninggal dunia akibat lemas dalam insiden tersebut diterima bapa­nya, Mohd. Mustafa, 66.

Aidi berkata, bakti murni yang yang telah ditunjukkan kesemua penyelamat itu perlu menjadi inspirasi terhadap orang ramai termasuk anggota PDRM.

Kosmo! sebelum ini melaporkan lima sekeluarga hampir lemas selepas terperangkap di dalam kenderaan Mitsubishi Storm yang terjunam di dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini.

No comments:

Post a Comment