Translate

Sunday, March 3, 2019

Ahmad Said jadi Ketua Pembangkang Terengganu

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, beliau mengosongkan jawatan itu bagi memberi laluan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menjadi Ketua Pembangkang DUN negeri yang baharu.
“Datuk Seri Ahmad telah dilantik sebagai ­Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ­Terengganu baru-baru ini. “Mengikut tradisi, Pengerusi Badan Perhubung­an UMNO nege­ri yang patut mengisi jawatan itu (Ketua Pembangkang DUN Terengganu).

Oleh itu saya secara sukarela memberi laluan kepada beliau (Ahmad),” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandata­ngani Ikrar Bebas Ra­suah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, beliau yakin ketokohan dan kepetahan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berhujah dapat memberi dimensi baharu BN sebagai pembangkang berkualiti di DUN Terengganu.
Ujarnya, walaupun bukan lagi menjadi ketua pembangkang, beliau akan tetap memainkan peranan berkesan sebagai ADUN BN pada setiap persida­ngan DUN Terengganu demi kebajikan rakyat diwakilinya dan kelangsu­ngan UMNO.

Surat peletakan jawatan Ahmad Razif kepada Speaker DUN Terengganu, Yahaya Ali yang bertarikh 4 Februari lalu telah tersebar menerusi kiriman aplikasi WhatsApp pada dua minggu lalu.

No comments:

Post a Comment