Translate

Saturday, March 2, 2019

Tiada kemasukan wang RM90juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dana RM90 juta dipercayai daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, siasatan agensi itu sejak 6 Februari lalu tidak menemui apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.

“Siasatan SPRM setakat ini, tiada dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun (bank) Pas,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Seramai 22 ADUN Terengganu diketuai Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membacakan ikrar tersebut di hadapan Mohd. Shukri.

Ditanya sama ada siasatan berhubung dakwaan terhadap parti pembangkang itu akan ditutup, Mohd. Shukri enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada Bahagian Siasatan SPRM untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin Pas antaranya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Pre­siden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes tersebut.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa dan peguam Ambiga Sreenevasan turut dipanggil untuk dirakam keterangan masing-masing oleh SPRM.

Siasatan tersebut dibuat selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menarik balik tuntutan sama terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan menyelesaikan kes saman berkenaan di luar mahkamah dalam kes yang difailkan di London.

Pada 21 April 2017, Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung laporan be­rita Sarawak Report dimuat naik pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa beliau menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti bagi menyokong Barisan Nasional dan UMNO.

No comments:

Post a Comment