Oleh MOHD. AZLI ADLAN/pix (Azlan Bahrum)
KUALA TERENGGANU - Salah seorang individu yang terlibat dalam usaha penyelamat sekeluarga hampir lemas yang telah mengorbankan Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, masih tidak mampu melupakan insiden itu walaupun ia sudah lebih seminggu berlalu.
Saiful Anuar Mohd., 37, yang merupakan seorang peniaga berkata, saat cemas sebelum Abdul Bari tenggelam di dalam Sungai Terengganu tersebut masih bermain di matanya sehingga hari ini.
Mengimbas kembali kenangan tersebut, dia bercerita, ketika itu dia cuba membantu Abdul Bari apabila melihat pemancing itu berenang dalam keadaan agak kepenatan sambil tangannya sedang memaut seorang mangsa, Iman Nur Hana Luthfia, 3, hingga kedua-duanya dilihat tenggelam timbul di dalam air sungai.
"Saya mengambil bayi itu (Iman Nur Hana) daripada pegangannya dengan harapan Allahyarham dapat kembali berenang ke tebing selepas bebannya dikurangnya. Saya tidak sedar dia (Abdul Bari) sebenarnya telah tenggelam selepas itu," katanya selepas menerima surat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu di sini semalam.
Turut menerima penghargaan tersebut yang disampaikam Pengarah JBPM negeri, Azlimin Mat Noor tersebut ialah Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37; Mohd Amirol Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33.
Saiful Anuar berkata, dia yang terkilan dengan insiden tersebut masih terkenang-kenang musibah yang menimpa Abdul Bari terutama pada setiap kali mahu membuka gerai jualan tidak jauh dari lokasi tersebut di Pulau Warisan di sini.
Sementara itu, Muhammad Asadullah yang merupakan seorang pengurus kilang memproses laksa berkata, mereka hanya menyedari kehilangan Abdul Bari apabila ternampak sebuah beg milik jurukimpal berkenaan di tebing sungai tidak lama selepas kesemua lima mangsa berjaya diselamatkan.
Omar Abdul Aziz pula berkata, peristiwa itu telah memberi kesan besar kepada mereka berlima yang kini mula menjadi sahabat akrab biar pun tidak pernah mengenali satu sama lain sebelum ini.
"Kami juga selalu mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham Abdul Bari selain menziarahi pusaranya (di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini)," katanya.
Dalam kejadian pada 8 Februari lalu, Abdul Bari terkorban akibat lemas sewaktu terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan lima sekeluarga di Sungai Terenganu berhampiran Pulau Warisan di sini.
Kesemua mangsa iaitu Nordiana Alwani Jaafar, 33; Suryati Rusly, 37; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; dan Iman Nur Hana Luthfia, 3, telah terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm dinaiki mereka hanyut kira-kira 20 meter selepas terjunam ke dalam sungai itu.
habis
No comments:
Post a Comment