Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Kerjasama Pas dan UMNO dalam agenda penyatuan ummah di negara ini tidak pernah bertujuan untuk mengembalikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke tampuk pemerintahan.
Sebaliknya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan ia bertujuan untuk menyatukan padukan orang Melayu negara ini yang dilihat semakin berpecah akibat idealogi politik.
Beliau berkata, malah Pas sebenarnya menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Bukan (kerana) Najib. Beliau sudah tidak jadi Perdana Menteri, bukan Presiden UMNO pun. Sekarang Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, kita pertahankan dia sampai habis penggal.
"(Kerjasama Pas dan UMNO kerana) kita hendak mengembalikan kepimpinan orang Melayu sebab itu kita sokong Tun Mahathir jadi Perdana Menteri sampai PRU-15," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Tazkirah Warga Kerja Wisma Darul Iman di sini semalam.
Abdul Hadi menjelaskan parti pimpinannya berpendapat perlu menyatupadukan semula orang Melayu negara ini yang kini bergantung harap kepada tiga parti politik iaitu Pas, UMNO dan Bersatu.
Bagi tujuan itu, beliau menjelaskan Pas bukan sahaja menjalin kerjasama dengan UMNO malah dengan parti-parti lain yang berada dalam Gagasan Sejahtera.
"Kerjasama penyatuan ummah antara Pas dan UMNO ini tidak akan mengabaikan kaum-kaum lain kerana kita menerima konsep jus soli.
"Kita juga sudah berjumpa dengan kepimpinan MIC dan mereka beri kerjasama baik.
"Kerjasama ini juga diterima ahli-ahli Pas di peringkat bawah. Ini dibuktikan dengan kemenangan dalam dua pilihan raya kecil di Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri Semenyih," katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berpendapat kebimbangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang kerjasama Pas dan UMNO itu bakal memberi ancaman kepada masyarakat bukan Islam di negara ini sebenarnya lebih kepada ketakutan Setiausaha Agung DAP itu tidak akan dapat lagi mempergunakan orang Melayu dalam agenda politiknya selepas ini.
Mahathir dalam blog rasmi sebelum ini berpendapat kerjasama secara rasmi yang dijalin antara Pas dan UMNO sejak Selasa lalu bertujuan untuk mengembalikan Najib sebagai Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment