Translate

Friday, March 22, 2019

Angkasa perluas konsep koperasi masjid ke luar negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) mendapat permintaan untuk memainkan peranan aktif memperkembangkan konsep koperasi komuniti melibatkan kariah masjid di luar negara seperti Indonesia, Kemboja, Laos dan Singapura.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi kariah masjid terbukti berjaya menjana pendapatan komuniti setempat di negara ini.

"Kita mempunyai kira-kira 500 koperasi kariah masjid di seluruh negara yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti peruncitan dan perkhidmatan.

"Ada di antara koperasi kariah masjid itu mampu menjana perolehan sehingga RM1 juta setahun.

"Antara yang berjaya ialah Masjid Geliga dan Masjid Binjai di Kemaman serta Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Perniagaan Anggota Koperasi Terengganu di sini semalam.

Sehubungan itu, Abdul Fattah memberitahu Angkasa mendapat permintaan dari komuniti luar negara untuk berkongsi kepakaran untuk menubuhkan koperasi kariah masjid di lokasi masing-masing.

"Angkasa melihat potensi besar itu dan berminat untuk berkongsi kepakaran menubuhkan koperasi kariah masjid terutama melibatkan komuniti Islam yang merupakan minoriti di sesebuah negara.

"Ia juga merupakan serampang dua mata bagi memasarkan produk koperasi tempatan berkualiti seperti makanan halal dan kewangan Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment