Translate

Saturday, March 23, 2019

Tunang lemas ketika berkelah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Kegembiraan pasangan tunang berkelah di kawasan Air Terjun Belukar Bukit kelmarin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.

Dalam kejadian pada pukul 4.36 petang itu, Wan Mohammad Raffiq Abdul Karim, 29, yang merupakan seorang tukang masak di kantin Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu lemas ketika sedang asyik bermandi-mandi di kawasan perkelahan terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, pasangan tunang tersebut yang difahamkan baru melangsungkan ikatan pertunangan pada awal bulan ini menghabiskan cuti minggu bersama-sama dengan berkelah di kawasan air terjun itu.

"Sewaktu sedang leka mandi, mangsa (Wan Muhammad Raffiq) tiba-tiba di bawa arus deras sebelum tenggelam ke dalam sungai.

"Tunangnya, Nurliana Majnun, 31, yang panik telah meminta bantuan pengunjung lain sebelum kejadian lemas itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 4.50 petang semalam (kelmarin)," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, mayat Wan Mohammad Raffiq kemudiannya dijumpai di dasar sungai yang sedalam kira-kira 4.5 meter oleh beberapa pengunjung lain sebelum diserahkan kepada pasukan bomba yang tiba kemudiannya.

Menurut beliau, mayat Wan Mohammad Raffiq yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Nurliana yang berasal dari Binjai Rendah, Marang dilihat begitu terkejut dan menangis kesedihan merapati pemergian tunang tersayang.

Kawasan Air Terjun Belukar Bukit sebelum ini sering mencatatkan kes lemas termasuk lima sekeluarga pada 19 Disember 2015.

Insiden yang mengorbankan Imam Surau al-Furqan, Puncak Alam, Kuala Selangor,  Mohd. Halim Safian, 44, dan empat ahli keluarganya itu menyebabkan kawasan perkelahan tersebut pernah ditutup sementara kepada umum sebelum kembali dibuka pada Mac 2017.

No comments:

Post a Comment