Translate

Thursday, March 21, 2019

Irfan Bakti sudang hilang sabar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim semakin hilang sabar dengan penyerang utamanya, Kipre Tchetche yang masih ketandusan gol termasuk pada aksi terbaharu Liga Super menentang Perak di laman sendiri kelmarin.

Beliau berkata, skuad kendaliannya bernasib baik dapat mengelak kekalahan apabila memperolehi sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan yang berjaya disempurnakan Lee Tuck bagi mengikat Perak 1-1.

"Ini sudah lima perlawanan namun dia masih gagal menjaringkan gol sedangkan musim lalu, Tchetche penjaring kedua terbanyak liga.

"Kalau Tchetche masih tidak boleh membuat sesuatu (menjaringkan gol) selepas ini, saya tiada pilihan lain selain memberikan surat amaran kepadanya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Begitu pun, Irfan Bakti mengakui prestasi Tchetche yang juga kapten pasukan semakin menampakkan peningkatan dan jauh lebih baik berbanding empat aksi sebelum ini terutama pada pertemuan dengan Kuala Lumpur minggu lalu.

Beliau juga mengakui kegagalan dua bahagian sayap TFC I yang dikemudi Khairul Anwar Sharudin dan Ahmad Syamim Yahya berfungsi dengan baik turut menjejaskan rentak serangan pasukannya.

"Saya terpaksa menukarkan kedua-dua pemain itu dengan Mohamad Ashari Samsudin dan Mohd. Shahrul Aizad Zukufli pada separuh masa kedua dan selepas itu barulah nampak perubahan.

"Selain itu, rentak permainan juga semakin baik apabila saya meminta Sanjar Shaakhmedov memperlahankan sedikit tempo permainan kerana berlaku kelompongan kerana Perak lebih menguasai barisan tengah pada babak pertama kerana mmempunyai ramai pemain tengah berdasarkan formasi," katanya.

Irfan Bakti berkata, gol pendahuluan Perak yang disempurnakan pemain importnya, Wander Luiz Junior pada minit ke-71 berpunca daripada kesilapan Tuck yang terhantar bola kepada pihak lawan.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman itu berpuas hati kerana Tuck yang juga arkitek pasukan dapat menebus kesilapannya apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-89 menerusi tendangan penalti.

No comments:

Post a Comment