Translate

Sunday, March 31, 2019

Terengganu atasi keputusan terbaik PNGK kebangsaan

KUALA TERENGGANU – Terengganu mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.99 pada keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang di­umumkan semalam.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussein berkata, pencapai­an itu bukan sahaja me­ngatasi PNGK kebangsaan iaitu 2.80 malah terbaik yang pernah dicapai calon STPM negeri itu setakat ini.

“Sebanyak 99.79 peratus atau 2,322 daripada 2,349 calon STPM negeri ini lulus penuh iaitu mencapai sekurang-kurangnya satu prinsipal.

“Seramai 47 calon memperoleh PNGK 4.0 iaitu semua A dalam subjek iaitu peningkatan berbanding cuma 23 calon pada 2017,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, Setiu muncul tiga sekolah terbaik di negeri terbabit.

Di Kota Bharu, empat pelajar dari negeri ini dinobatkan antara 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan dengan memperoleh PNGK 4.0 dalam keputusan STPM 2018.

Mereka ialah M. Dhivya Janani dan Wee Chin Seng memperoleh lima prinsipal A serta Nur Solehah Zahari dan Leong Yean Thyn yang memperoleh empat prinsipal A.

Dhivya Janani dan Chin Seng dari Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah, Nur Solehah (SMK Dato' Biji Wangsa, Tumpat) dan Yean Thyn (SMK Sultan Yahya Petra (1), Kuala Krai).


No comments:

Post a Comment