Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita cemas selepas bayi perempuannya yang berusia sembilan bulan tertelan objek iaitu kerongsang dalam kejadian di Ajil, Hulu Terengganu kelmarin.
Nur Qhaulah Ramadhani Mohd. Kamal bernasib baik apabila aksesori wanita tersebut dapat dikeluarkan selepas mangsa membuang air besar pada pukul 4.32 petang semalam.
Ibu bayi itu, Noor Amira Shyuhada Mohd. Noh, 33, berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa dia dan dua anaknya termasuk Nur Qhaulah menaiki kereta dalam perjalanan ke rumah di pekan Ajil dari Felda Bukit Banding, Ajil pada pukul 9.30 malam.
Cerita wanita itu, semasa kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik tersebut dipangku oleh kakak sulungnya, Nur Damia Darwisya, 11, di tempat duduk penumpang hadapan.
“Saya tidak tahu bagaimana kejadian berlaku, Nur Damia tiba-tiba menjerit beritahu adiknya (Nur Qhaulah) tertelan sebentuk kerongsang.
“Saya percaya dia (Nur Qhaulah) mencapai kerongsang itu yang dijumpai di celah pintu penumpang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Noor Amira Shyuhada memberitahu, dia yang panik segera membawa anaknya ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Gambar imbasan X-ray mengesahkan ada kerongsang dalam badan anak saya.
“Pakar perubatan HSNZ kemudian memasukkan ubat ke dalam dubur Nur Qhaulah untuk mengeluarkan kerongsang itu melalui pembuangan air besar,” katanya.
Noor Amira Shyuhada bersyukur proses mengeluarkan aksesori wanita itu berjalan lancar dan Nur Qhaulah juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
No comments:
Post a Comment