Translate

Wednesday, March 27, 2019

TFC I menang demi penyokong - Irfan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) lega apabila berjaya meraih kemenangan sulung di laman sendiri selepas menumbangkan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, diikat tiga kali berturut-turut oleh skuad pelawat iaitu PKNS FC, Johor Darul Ta'zim dan Perak di hadapan penyokong sendiri dalam aksi Liga Super sebelum ini sedikit sebanyak meresahkan pengurusan pasukan.

"Sebelum perlawanan (menentang Melaka United) bermula, saya katakan kepada pemain-pemain, kita perlu menang malam ini (kelmarin) demi penyokong.

"Jangan hampakan mereka (penyokong) lagi kali ini yang sentiasa berada di belakang kita dan setia memenuhkan stadium sejak awal musim," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Irfan Bakti juga gembira pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov yang baharu menyertai TFC I musim ini berjaya meledak gol sulung peribadinya pada aksi tersebut.

Katanya, Sanjar yang juga bekas pemain terbaik Liga Uzbekistan musim lalu mematuhi nasihatnya agar bersikap 'sedikit tamak,'  dengan lebih kerap melakukan  sendiri percubaan menjaringkan gol ke gawang lawan.

"Pada masa sama, saya juga nampak (penyerang utama) Kipre Tchetche turut menunjukkan peningkatan pada aksi dengan Melaka United malam ini (kelmarin) walaupun masih kemarau gol.

"Beberapa hari lalu, saya memutuskan untuk melucutkan lilitan kapten daripada Tchetche dan menyerahkan tanggungjawab tersebut  kepada penjaga gol, Mohd. Suffian Abdul Rahman bagi mengurangkan beban dia," katanya.

No comments:

Post a Comment