Translate

Sunday, March 31, 2019

Terengganu bakal jadi hab latihan teknologi robotik Pantai Timur

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal meneroka pelaburan baharu dalam industri teknologi robotik sebagai insiatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber berasaskan minyak dan gas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, negeri ini berpotensi besar untuk menjadi hab latihan modal insan dalam teknologi robotik yang merupakan antara industri penting bakal memacu pertumbuhan negara pada masa depan.

“Saya mendapati Terengganu sudah memiliki infrastruktur bagi membangunkan sebuah pusat kecemerlangan modal insan khusus dalam teknologi robotik.

“Pusat ini bertujuan melatih tenaga tempatan dari Pantai Timur dalam bidang berkenaan selaras dengan kehendak Perdana Menteri yang mahu memakmurkan lagi wilayah berkenaan,”  katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Leiking menjelaskan, agensi di bawah kementeriannya akan menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu bagi me­rangka penubuhan pusat kemahiran teknologi robotik berkenaan pada masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MITI juga mendapati antara potensi pelaburan lain yang sesuai untuk dibawa masuk ke Terengganu ialah industri huluan dan hiliran berkaitan sektor pelancongan, perkapalan dan pelabuhan.

Sementara itu, Leiking me­nerangkan,  sebanyak RM4.9 bilion pelaburan telah berjaya dibawa masuk ke Terengganu pada tahun lalu.

“Ia peningkatan mendadak berbanding RM73.1 juta pada tahun 2017 dengan kebanyakan pelaburan itu melibatkan sektor produk berasaskan besi, kimia dan kayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment