KUALA NERUS – Khazanah mineral berharga seperti emas dan bijih besi bernilai berbilion ringgit masih tersimpan di dalam bumi Terengganu terutama di kawasan Jalur Timur sepanjang 400 kilometer dari Sungai Pelentong, Setiu hingga Tenggaroh, Johor.
Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Muhd. Nur Ismail Abdul Rahman berkata, kawasan itu belum diterokai secara komersial sehingga kini.
Katanya, antara kawasan yang mengandungi mineral berkenaan termasuk Lubuk Mandi, Jubai, Bukit Ibam, Bukit Mawi, Rusila di Marang; Bukit Besi, Dungun dan sebahagian hulu Kemaman.
“Jalur Timur menganjur melalui Bukit Ibam, Rompin, Pahang
dan berakhir di Mersing dan
Tenggaroh, Johor.
“Kampung Air Sejuk, Setiu
yang menjadi lokasi seorang pencari emas maut ditimbus tanah
baru-baru ini juga sebahagian
daripada Jaluran Timur,” katanya
kepada Kosmo!.
Menurut Muhd. Nur Ismail, selain emas dan bijih besi, jalur itu
juga kaya dengan mineral seperti
bijih timah, pasir silika, koalin,
batu kapur, mineral lempung dan
unsur nadir bumi lain.
Tambahnya, kajian pada awal
1928 mendapati, jaluran itu terdiri daripada batuan sedimen,
batuan granit dan volkanik yang
berusia berusia 359 juta tahun.
“Emas telah ditemui di Setiu dan Besut antara tahun 1991
hingga 2005 berdasarkan rekod
Jabatan Mineral dan Geosains.
Antara lokasi yang ada emas
ialah Sungai Tapah, Sungai Setiu,
Sungai Pelong dan Sungai Pelagat,” katanya.
Ujar Muhd. Nur Ismail, sebanyak 32 kilogram emas telah
diambil cuma dari dua kuari di
Terengganu pada tahun 2009.
“Walaupun jalur itu diketahui mempunyai emas, namun ia
kurang popular dan penerokaannya juga masih terhad dan sepi
dari segi kajian dan pengkomersialan berbanding Jalur Barat
dan Jalur Tengah di Semenanjung,” katanya.
Ia mengakibatkan terdapat
penerokaan emas secara haram oleh penduduk yang bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan hasil, malah membahayakan nyawa pencarinya.
Muhd. Nur berkata, kebimbangan itu terbukti daripada insiden meragut nyawa pencari emas yang berlaku di Kampung Air Sejuk, Setiu pada Disember 2021 selain di Rusila pada 1988, 1989 dan 2007.
Sementara itu, seorang pencari emas dikenali sebagai Man, 30, berkata, aktiviti mencari emas dilakukan secara kecil-kecilan dengan menggali tanah menggunakan cangkul di ladang kelapa sawit dan kebun.
Katanya, memang ada emas di Kampung Air Sejuk yang hanya diketahui penduduk setempat.
“Pencarian emas dilakukan secara berkumpulan dan perlu membayar caj kepada tuan tanah. Kebanyakan emas ditemui dalam bentuk debu yang melekat pada batuan dan perlu diekstrak dengan air,” katanya.
Ujar Man, emas diperoleh hanya bernilai ribuan ringgit sahaja dan perlu dikongsi dengan ahli kumpulan. Sebab itu ia dijadikan pendapatan sampingan dan bukan pekerjaan utama.
“Penduduk percaya kawasan emas ada ‘penjaganya’ dan pencari emas berpegang pada pantang larang dan tidak ghairah sewaktu menggali tanah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Air Sejuk, Kamarudin Mad Nor berkata, berdasarkan pengetahuannya, setakat ini tiada sebarang cadangan pembukaan lombong emas secara komersial di kawasan tersebut.
“Ia disebabkan emas di sini kurang berkualiti dan tiada pihak berminat untuk melombongnya kerana kos tinggi,” katanya
No comments:
Post a Comment