Oleh MOHD AZLI ADLAN
BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan minggu lalu jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan sebaik mungkin isu di institusi pengajian tinggi (IPT).
Peruntukan RM18.6 bilion yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliputi penambahbaikan kemudahan kampus, kursus dan kebajikan, pembangunan sahsiah dan kebolehpasaran bakal graduan.
Isu kekurangan kolej kediaman akan diatasi dengan pembinaan 1,000 unit residensi di Universiti Malaya dan kebajikan pelajar kurang berkemampuan terus dibela menerusi Ikhtiar Dapur Madani.
Selain itu, pendidikan percuma turut ditawarkan kepada 5,800 anak keluarga miskin dan pengecualian bayaran balik bagi graduan kelas pertama.
Biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan kepada pelajar yang layak terus diperkasa.
Tumpuan turut diberikan kepada kursus-kursus berdaya maju seperti kecerdasan buatan (AI), perbankan kewangan Islam, ekonomi, perakaunan dan undang-undang. Program MySiswa Job On Campus pula ibarat serampang dua mata bagi membantu pelajar memerlukan bukan sahaja memperolehi pendapatan sampingan malah kemahiran keusahawanan.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkukuh agar graduan kelak bukan sahaja mahir teori malah terdedah dengan latihan industri antaranya pembangunan limbungan kapal pengajaran yang dilengkapi kemudahan penyelidikan dalam bidang maritim berteknologi tinggi menerusi projek Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, fasiliti Teaching Shipyard TVET Marine kelak bakal memberi peluang kepada pelajarnya belajar berdasarkan pengalaman industri sebenar.
"Pelajar boleh terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembinaan, penyelenggaraan dan penyelidikan kapal, termasuk teknologi baharu seperti kapal elektrik dan hidrogen.
"Pengalaman ini diyakini mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dan menyediakan mereka dalam memenuhi keperluan industri sebenar," katanya kepada Kosmo!.
Katanya, pembangunan fasiliti Teaching Shipyard TVET Marine akan membuka jalan kepada penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi berimpak tinggi dengan pihak industri. Senergi itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan UMT yang kini telah tersenarai dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain pula berkata, insiatif Dapur Madani dan MySiswa Job on Campus amat membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Berdasarkan Kajian Indeks Kesejahteraan Pelajar (IKP) dilaksanakan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, masalah kewangan sering menjadi hambatan utama yang menjejaskan tumpuan dan motivasi pelajar.
"Dua inisiatif tersebut disambut baik kerana dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan dan fokus pembelajaran pelajar.
"Dapur Madani yang dilakukan secara bergotong-royong dalam kalangan pelajar boleh menyerlahkan nilai-nilai murni seperti kerjasama dan empati.
"MySiswa Job on Campus pula umpama memberi pancing kepada pelajar terlibat untuk menambah rezeki di samping memperolehi pengalaman bermakna sebelum menamatkan pengajian," katanya.

No comments:
Post a Comment