Translate

Thursday, September 19, 2019

UMT bantu tingkat populasi udang galah di Sungai Nyatoh

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memainkan peranan untuk meningkatkan populasi udang galah dengan melepaskan sejuta anak spesies hidupan akuatik itu di Sungai Nyatoh dekat sini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar berkata, kajian yang dilakukan Institut Akuakultur Tropika dan Penyelidikan Perikanan (Akuatrop) UMT telah mendapati populasi udang galah di sungai berkenaan yang popular dalam kalangan pemancing dan nelayan telah mengalami penurunan ketara.

"Kajian berdasarkan Usaha Per Unit Tangkapan  dilakukan pada tahun 2017 itu turut melibatkan dua lagi sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Paka, Dungun dan Sungai Terengganu, Kuala Terengganu.

"Hasil kajian mendapati populasi udang galah semakin berkurangan di Sungai Nyatoh. Sehubungan itu, UMT menawarkan kepakaran dalam bidang sains marin dan akuatik dengan melancarkan program pemuliharaan dan peningkatan stok," katanya selepas melepaskan 20,000 benih udang galah di Sungai Nyatoh dekat sini hari ini.

Nor Ainie berkata, sebanyak sejuta benih udang galah akan dilepaskan secara berperingkat di beberapa lokasi strategik di sungai berkenaan sehingga Mac 2021.

Menurut beliau, benih udang galah yang dilepaskan tersebut daripada spesies berkualiti tinggi hasil penyelidikan Akuatrop yang akan matang dengan saiz besar dalam tempoh lima bulan dan berharga sehingga RM80 sekilogram.

"Benih udang galah yang dilepaskan juga mempunyai penanda biologi yang membolehkan penyelidik UMT melakukan pengesanan semula bagi mengetahui keberkesanan projek.


"Projek komuniti inj juga melibatkan 20 nelayan setempat terdiri daripada golongan B40 (pendapatan rendah) yang telah diberi latihan teknikal penghasilan benih udang galah berkuaiti tinggi," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment